14 May 2014

MINI CONTEST HARI GURU 2014: SEBUAH KENANGAN



16 Mei…

Kenapa perlu meraikan hari guru? Kerana guru merupakan insan terpenting selepas ibu bapa dalam kehidupan seseorang murid. Hari guru adalah yang istimewa untuk meraikan jasa dan pengorbanan seorang guru untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.

Kita panjatkan kesyukuran kepada Ilahi Yang Maha Pengasih dan Penyayang, Maka Berkuasa dan Maha Pencipta kerana memilih kita sebagai GURU. Sesungguhnya guru mempunyai tanggungjawab yang:

berat, jika dianggap berat,
mudah, jika mengambil mudah
mulia, jika dilaksanakan dengan sepenuh jiwa raga dan Lillahita'ala.

Sesungguhnya, sama ada kita guru, murid atau bekas murid, inilah harinya untuk kita menyampaikan penghargaan yang khusus dan istimewa kepada guru, lebih istimewa daripada ucapan penghargaan yang kita berikan setiap hari kepada guru kita atau bekas guru kita.

Buat semua guru yang pernah mendidik dan menyampaikan ilmu kepada saya, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Khidmat baktimu, jasamu dan ilmu yang kau titipkan kepadaku akan aku manfaatkan demi kebaikan semua. Semoga hidup kalian sentiasa dirahmati Allah.

Buat semua guru yang masih berkhidmat...
Jadilah seorang guru yang hadirnya diTUNGGU, hilang diRINDU, ilmunya diBURU, nasihatnya diSERU, tingkah lakunya diTIRU...

SELAMAT HARI GURU buat semua pendidik...Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, tema Hari Guru 2014 selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang.

Guru...
Dalam ajarnya ada harapan,
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam tawa ada mesranya,
dalam diam ada bijaksana,
dalam tangannya kita terbina.
Berbahagialah menjadi guru...

--  ­­--  -­­-  --  -- ­­ --  -­­-  --  --  ­­--  -­­-  --  -- ­­ --  -­­-  --  --  ­­--  -­­-  --  -- ­­ --  -­­-  --

Meski menangis dalam tawa
meski senyum dalam duka
meski pahit bagai gula
sabarlah
redalah
kerana kita guru yang kental jiwa dan raga
mendidik anak bangsa
dulu, kini dan selamanya.


No comments:

Post a Comment